Dengan nama Allah Yang Maha Murah [Pemurah] lagi Maha
Mengasihani.
Segala Pujian2 bagi Allah
Tuhan Seru sakalian ‘Alam dan selawat dan salam bagi Junjungan Kita Nabi
Muhammad dan bagi sakalian Keluarga serta Sahabat2-nya
BAHAWASANYA oleh kerana
suatu Perjanjian yang diperbuat pada Sembilan hari bulan Julai tahun seribu
sembilan ratus enam puluh tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom,
Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan
Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapuran dengan Persekutuan Tanah
Melayu yang mengandongi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri
Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri
Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendaklah
dinamakan “Malaysia”.
DAN BAHAWASANYA oleh kerana
pihak2 dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada
penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura
hendak-lah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda
Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan
dan kuasa dalam ketiga2 buah Negeri itu;
DAN BAHAWASANYA oleh kerana
telah dimasyhorkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun
yang muktamad di dalamnya;
DAN BAHAWASANYA oleh kerana
Perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan
hak2 dan keutamaan2 Duli2 Yang Maha Mulia Raja2 serta hak2 asasi dan kebebasan
sekalian rakyat dan bagi mengekalkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai
Kerajaan yang mempunyai Raja yang berpelembagaan dan yang berdasarkan demokrasi
cara berparlimen;
DAN BAHAWASANYA oleh kerana
Perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang2 yang diluluskan
oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berkuatkuasalah
Perlembagaan itu pada Enam belas hari bulan September tahun seribu Sembilan
ratus enam puluh tiga;
MAKA dengan nama Allah Yang Maha Murah
[Pemurah] lagi Maha Mengasihani, saya TUNKU ABDUL RAHMAD PUTRA AL-HAJ IBNI
AL-MARHUM SULTAN ABDUL HALIM SHAH, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan
dan perkenan ka-bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang
di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak DENGAN INI
MENGISHTIHAR DAN MEMASYHORKAN bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada
Enam belas hari bulan September tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga
bersamaan dengan Dua puluh lapan hari bulan Rabi’ul Akhir tahun Hijrah seribu
tiga ratus lapan puluh tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu,
Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor,
Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri Melaka, Negeri
Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah
Rabbul’ Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi
berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan
serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan diantara
segala bangsa didunia ini.
Kuala Lumpur
Enam belas hari bulan September
1963
Perdana Menteri
Sumber: PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA
1791-1965 (2008), Terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia, Kuala
Lumpur, h. 104-105